SEJARAH SEKOLAH

 

 

Sekolah Kebangsaan Sejagong pada mulanya merupakan sekolah cawangan Sekolah Kebangsaan Sri Tenaga Setia,Sri Medan, Batu Pahat. Jarak perjalanan sekolah ini dari Pekan Sri Medan ialah kira-kira 14km dan 45 km dari bandar Batu Pahat.
Sekolah ini mula dibuka pada tahun 1967 dengan seramai 2 orang guru sementara yang berpengalaman dan mempunyai murid seramai 38 orang. Bangunan sekolah adalah dibina secara gotong-royong oleh penduduk tempatan.
Terdapat dua peristiwa pahit yang telah menimpa sekolah ini.Peristiwa pertama telah berlaku pada hari Sabtu bersamaan 8hb. Jun 1974 apabila sekolah ini telah dipanah petir. Kejadian kedua pula berlaku pada 9hb. Mac 1976, apabila bangunan sekolah ini telah roboh dipukul ribut.
Selepas kejadian itu, satu tempat baru yang lebih sesuai telah dicari. Beberapa perbincangan telah diadakan yang melibatkan penduduk Kampung Sejagong, Kampung Parit Jayus 3 dan Kampung Parit Jayus 4. Usaha ini telah diketuai oleh Encik Hamzah bin Md. Dali. Akhirnya pada tahun 1978, dengan keikhlasan Tuan Haji Salim dan Encik Katheron Bin A. Alim, telah menawarkan dan mewakafkan tanah seluas 2e. 3r 22p. untuk dijadikan tapak bagi bangunan sekolah yang baru. Tanah tersebut terletak di Kampung Parit Jayus 3.
Pembinaan bangunan sekolah baru bermula pada tahun 1978. Pada 10hb. Jun 1979, bangunan baru yang kekal telah mula digunakan. Bangunan sekolah ini mengandungi satu bilik pejabat, bilik guru, enam bilik darjah, satu bilik perpustakaan, satu bilik tayang, bilik sembahyang dan satu bangunan kantin. Perasmian bangunan baru ini telah dilakukan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato' Ajib Bin Ahmad pada 8hb. Februari 1986. Sekolah ini telah dinamakan sebagai Sekolah Kebangsaan Seri Sejati (Cawangan).
Dari seramai 38 orang murid semuanya pada masa sekolah ini dibuka, ianya telah meningkat kepada 180 orang. Selain daripada itu terdapat 25 orang murid prasekolah. Jumlah tenaga pengajar di sekolah ini sekarang ialah seramai 15 orang.
Sekolah ini mula menjalankan pentadbirannya sendiri pada awal tahun 1991, iaitu berpisah pentadbiran daripada Sekolah Kebangsaan Seri Sejati. Semenjak itu sekolah ini telah menggunakan nama baru, iaitu Sekolah Kebangsaan Sejagong.

 
 

gambar1.jpg (34579 bytes)

gambar2.jpg (41914 bytes)
gambar3.jpg (32368 bytes)

  Gambarfoto ketika perasmian Sekolah Kebangsaan Sejagong oleh  Menteri Besar Johor, YAB. Dato' Ajib Bin Ahmad.

 
 
 

Ag00092_.gif (502 bytes)

Ag00091_.gif (505 bytes)